Powered by Blogger.

Seronok sangat ke?


posted by Nusaibah Rustam

3 comments

Entahlah. baru selesai membacakan yasin untuk allayarham Ammar.

"Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, 'Jadilah!' Maka jadilah sesuatu itu. Maka Mahasuci Allah yang di tanganNya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepadaNya kamu dikembalikan." (Yaasin 36:82-83)

Laju air mata mengalir, buat bacaan jadi tersekat-sekat. Biar aku tidak pernah kenal pun arwah, saat ini aku tahu bahawa aku sangat takut kehilangan, kematian. Lebih-lebih lagi manusia yang berada di sekeliling, walaupun hanya 'pernah nampak'. Takziah buat keluarga arwah dan gen6 cairo university. Doakan terus-menerus kebaikan buat arwah, semoga dia ditempatkan di kalangan para syuhada' dalam syurga tertinggi. Amiin.

Keras sekali amaran Allah buat kami kali ini. Dengan watak utama yang paling super sesuai. Kadang-kadang kita diingatkan Allah secara halus, contohnya ketika membaca maksud ayat-ayat suci alQuran, dan kali ini, Allah telah tunjukkan kekuasaanNya. Kun Fayakun.

Watak utama bukan calang-calang, tempias kebaikannya langsung mengenai setiap orang di sekitarnya, sehingga sukar untuk bercakap selain kebaikan tentangnya. Allah ambil nyawanya dan tiada siapa pernah sangka, seawal ini dia meninggalkan kita. Tanpa tanda atau kata-kata. Padahal mungkin baru saja kita bergelak ketawa dan bermesra dengan ukhwah islam yang terlalu manis, terlalu hidup untuk kita terima pula pahit hakikat kematian.

"Allah memegang nyawa(seseorang) pada saat kematiannya dan nyawa(seseorang) yang belum mati ketika dia tidur; maka Dia tahan nyawa yang telah Dia tetapkan kematiaanya dan Dia lepaskan nyawa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda Allah bagi kaum yang berfikir." (39:42)

Allah lebih sayangkannya. Terlalu sayang mungkin sehingga Dia tidak sabar untuk bertemunya di alam lain pula. Masya-Allah hebatnya kasih sayang Allah terhadap sahabat yang seorang ini. Agak cemburu bila mengenangkan bahawa dia sudah pun melangsaikan tugasnya di dunia, dan kita masa untuk dia bertemu kekasih hati, Sang Pencipta. Cemburu kerana matinya bukan sia-sia, pengakhirannya baik, syahid iAllah. Dan tempat para syuhada' adalah syurga dengan segala kelazatannya. Ah cemburunya!

Tapi kerasnya peringatan Allah untuk kami yang masih hidup ini wahai sahabat. Kami yang masih di dunia fana ini diperingatkan oleh Rabbnya dengan kematianmu. Tamparan besar buat kami yang selalu lupa bahawa mati itu pasti, bahawa persediaan untuk mati itu bukan sehari dua sebelum mati, dan bahawa waktu yang ditentukan untuk kami mati telah ada, tunggu masa saja, sama ada dlm keadaan yang baik atau sebaliknya.

Siapa yang kata tunggu tua dulu baru mahu bertaubat memang silap besar! Siapa yang beri jaminan yang kita akan tua? Umur kau baru menginjak 21 tahun, rohmu telah bertemu Penciptamu. Kau belum tua pun! Baru bertatih-tatih mengenali segala jenis penyakit dan nama-nama ubat yang bermacam-macam, yang kepala sampai boleh pening untuk mengingat semua sekali. Itu, awal-awal lagi, tak pernah terjamin pun kita akan dapat habiskan pelajaran dan menjadi doktor, seterunya membuka hospital sendiri! Tak pernah!

Nyawa kita dipegang setiap kali kita tidur, dan boleh jadi sama ada Allah mahu memberi kembali nyawa tersebut atau terus diambilnya. Kalau diberi kembali nyawa itu, ucapkanlah setiap kali bangun dari tidur: "Alhamdulillahillazi ahyana ba'da ma amatana wailaihinnusyuur, segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepadaNya tempat kembali".

Syukur yang tidak terhingga sebab masih diberi peluang untuk bertaubat dan membaiki serta memperbanyak amalan. Kitalah tu! Yang masih hidup, yang selalu sia-siakan masa untuk perkara yang tak membantu pun untuk mencapai syurga Allah, sedangkan itulah satu-satunya destinasi yang kita impikan selepas kembali pada Allah, bukan neraka yang sangat kita geruni.

Kadang-kadang kita akan kata, 'nantilah dulu..muda lagi..ada masa lagi...enjoy la dulu hidup ni...selagi ada masa pakai la pakaian cantik2 dan menarik perhatian...selagi ada masa pergilah cuba segala jenis hiburan kat dunia ni..etc..'. Lupa ke kita yang kita hidup ni bukan untuk kejar dunia, tapi untuk akhirat? Aku suka sangat ayat glamor arwah:

"Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat, laksana anak-anak akhirat...melihat dunia dari jendela akhirat." (kalam-puncak.blogspot.com)

Dan ayat Allah swt.:
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (29:69 )

Hidup memang untuk akhirat. Hidup memang hanya dan semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah. Takkan nak tunggu tua dulu baru nak berubah? Nanti bila dah tua pula akan kata, 'aku dah tua, tak larat nak buat baik banyak-banyak'. haih. Jadi amalan mana yang dapat memberatkan timbangan amalan kita di mizan kelak? Masa bila pula yang Allah nak berikan rahmatNya supaya kita dapat tiket ke syurgaNya? Kalau bertangguh-tangguh alamatnya susahlah kita di akhirat nanti, dan percayalah, kesusahan akhirat beganda-ganda susah dari kesusahan dunia yang sedikit cuma.

Peringatan yang Allah berikan kali ini sudah cukup besar untuk buat kita rasa bahawa kematian itu hampir, sangat-sangat hampir. Aku mungkin saja mati sekejap lagi, esok atau lusa. Tak akan terlambat atau tercepat walau sesaat pun, dan aku tertanya-tanya, pada saat kematianku, adakah aku bersedia? Sediakah aku bertemu dengan Sang Pencipta dengan segala titik-titik kotor dalam hati ni? Sediakah aku dengan amal dakwah yang aku rasa lebih kecil dari biji sawi, jika mahu dibandingkan dengan ramai lagi manusia-manusia luar biasa di luar sana? Sediakah aku dengan ibadah-ibadah yang entah khusyu' atau tidak? Sediakah aku??

Melihat dunia dari jendela akhirat. Gunakan dunia untuk mengejar akhirat. Hidup ini cukup singkat, tapi manusia selalu yakin bahawa dia akan hidup esok, minggu depan, habis belajar, sempat bekerja, berkahwin, bercucu-cicit. Sepatutnya kita merasa takut untuk menutup mata pun, sebab ketika tidur, nyawa bukan pada kita, tapi pada Yang Maha Penyayang. Kalau nyawa kita diambil saat itu, laluan mana satu yang bakal kita lalui, laluan ke syurga atau neraka? Manusia jua yang membuat pilihan itu.


"Demi jiwa serta penyempurnaannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan." (as shams:7-8)

Sahabat yang dikasihi sekalian, jom kembali pada jalan yang satu, jalan Allah. Tiada gunanya untuk kita menjadi muslim biasa-biasa (sebenarnya tidak faham pun maksud biasa-biasa kerana selain islam hanyalah jahiliyah yang kotor). Masuklah islam dengan sepenuhnya, nikmati islam dengan seluruh jiwa raga, dan sebarkan kebaikan kepada semua manusia. Kita perlukan saham yang banyak untuk akhirat, sebab untuk mendapat syurga itu bukan dengan senang dan lenang, tapi dengan kepayahan dan pengorbanan, diri, harta, nyawa.

Pilihan di tangan kita. Hiburan di dunia tidak langsung menyeronokkan untuk dibandingkan dengan pertemuan dengan Allah di syurga. Tidak seronok pun untuk dibandingkan dengan pertemuan dan perjumpaan dengan Rasullullah dan seluruh sahabatnya dan para ulama' tabi' tabi'in. Tidak seronok pun dunia ni, kecuali apabila dapat mengumpul segala pahala dan menjadi penolong agama Allah, serta syahid di jalanNya. Doa dipohon supaya kita semua ditempatkan di syurga.

Jadi, seronok ke dunia???

3 comments

  1. hamba yg kekenyangan
  2. ahl-kauthar