Powered by Blogger.

Separuh cerita


posted by Unknown

2 comments

Aku menuruni tangga stesen Metro, untuk bersedia menunggu di tepi landasan. Peluh. Panas hari ini. Sampai sahaja berdekatan landasan, aku terus mencari tempat berteduh di bawah tangga. Selang beberapa ketika, dua budak perempuan, umur sekitar 9 dan 6 tahun, berjalan bersebelahan tempat aku berdiri. Pakaian mereka buruk, comot. Anak jalanan fikirku. Mereka yang tadi leka berbual, sekarang meluru ke arah seorang wanita yang sedang berjalan sambil menyuap popcorn ke mulut. Beriya-iya meminta diberi makanan tersebut kepada mereka, dan yang mengejutkanku, wanita tersebut terus mengambil segenggam popcorn untuk dirinya, dan memberikan semua baki popcorn kepada dua budak perempuan tadi. Oh, mungkin sebenarnya ini pemandangan biasa di bumi barakah ini, tapi mungkin aku yang baru pertama kali berkesempatan melihat dengan mata kepala sendiri.
 

Bersinar-sinar mata mereka kegembiraan. Lantas yang besar terus mengambil tugas membahagi popcorn tersebut untuk dikongsi bersama. Rezeki besar harini, mungkin itu kata mereka. Tidak lama selepas itu, muncul pula dua budak lelaki, berumur dan bersaiz lebih besar dari mereka, terus merampas kesemua popcorn di tangan. Budak perempuan yang lebih besar sudah mula menangis, merayu-rayu supaya dipulangkan, namun gagal. Budak-budak lelaki tu pasti tak makan saman. Pakaian mereka lebih kurang seperti budak perempuan, comot dan buruk. Rayuan dan tangisan diteruskan, dan dua budak lelaki tersebut sudah mula mahu angkat kaki beredar.

Tiba-tiba, budak perempuan yang lebih kecil berlari ke arah salah seorang budak lelaki tadi, dan merampas popcorn di tangannya. Ya, yang kecil. Tadi dia tidak menangis pun. Dan dia berjaya merampas, tapi kemudian dikejar semula, dan peket popcorn tadi jatuh. Habis tumpah sebahagian kandungannya. Budak lelaki tadi berjaya mendapatkan semula popcorn tersebut, iyalah, saiznya dua kali ganda budak perempuan tersebut. Mereka berdua kemudian terus berjalan dan berlalu pergi. Budak perempuan yang lebih kecil tadi, terus ke arah popcorn yang bertaburan di lantai landasan, mengutip semuanya, dan menyuap ke mulut.

Keretapi sampai. Mata berkaca. Tahan.

******
Ini cerita versi aku. Takkan sama dengan versi sebenar. Sebab aku hanya tahu, separuh cerita. Atau kurang.

2 comments

  1. Anonymous