Powered by Blogger.

It's priority sir!


posted by Nusaibah Rustam

1 comment

Aku mendongak ke langit, resah kerana tidak tahu keputusan bagaimana yang harus dibuat. Mundar-mandir untuk melihat kalau-kalau ada perempuan juga yang akan bersamaku menaiki kenderaan untuk pulang nanti. Di sekelilingku semua lelaki. Takut juga! Nampaknya hajatku untuk pulang ke rumah terus, terpaksa dibatalkan. Benar, perempuan tidak elok berjalan seorang,malam-malam pulak tu (kecuali terpaksa. Jangan hentam saya!^_^).

Aku menahan teksi, bercampur-campur perasaan aku waktu itu. Risau+sedih tak dapat balik+fikir-fikir betul ke keputusan yang aku ambil. Aku terus menaiki teksi, syukur aku dapat teksi dengan cepat, tak perlu tunggu lama-lama di situ.

Pakcik teksi : (maksudnya) Kalau kamu masuk satu tempat, kamu bagi salam tak?
Aku : (muka kosong,tak dapat tangkap apa yang pakcik cuba nak cakap)......
Pakcik teksi :Kalau kamu masuk satu tempat, kamu bagi salam tak? (pakcik ulang soalan)
Aku : Ya, saya bagi.
Pakcik teksi : Jadi, kenapa bila kamu masuk teksi tadi kamu tak bagi salam??
Aku : erk...................

Tersentak aku saat itu. Terkesima dengan pertanyaan pakcik itu, dan rasa sedih dengan perlakuan aku sendiri. Ini akhlak islam, yang aku tidak pernah ambil serius untuk amalkan.

Pengajaran yang sangat besar untuk aku waktu itu. Simple, tapi cukup terkesan.

Kamu, tidak akan pernah dapat menjangka, pelajaran apa yang akan kamu dapat, dari seorang muslim Mesir =)

**************************************
Pernah dengar perkataan "PRIORITI"? Islam banyak mengajar tentang prioriti dalam hidup kita, berapa banyak kisah-kisah yang berkaitan dengan prioriti untuk mengajar kita apakah perkara terpenting dalam hidup seorang muslim.

Aku mulakan dengan kisah Sumayyah. Cukup dengan keyakinan bahawa Tuhan itu Maha Esa, dan Muhammad itu pesuruhNya, beliau sangat tahu apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan ujian. Latta dan Uzza, atau Allah taala. Suram kekafiran, atau cahaya keimanan. Nyawa, atau agama. Besar sekali pengorbanan Sumayyah, diangkat agamanya setinggi mungkin, dan diganti dengan nyawa buat tatapan si musyrik. Masya-Allah, langsung tidak dihirau ugutan dan ancaman bunuh, dan matilah dia sebagai syahidah pertama dalam islam. Kenapa sampai begitu sekali pengorbanannya? Mudah saja, islam diletakkan sebagai perkara teratas dalam hidupnya, islam adalah prioritinya, dan tidak ada satu apa pun yang dapat menggantikan islam yang sudah tersemat kukuh dihatinya. Jadi, ambil saja jasadnya!

Kita lihat pula kisah hijrah Rasulullah dan para mukminun, dari Mekah ke Madinah. Sejak sekolah rendah kita diajar dan diceritakan tentang kisah ini, bahawa hijrah ini adalah perintah Allah kepada orang mukmin, beralih dari seksaan kafir quraisy di Mekah, kepada sebuah negara islam Madinah. Kita semua sangat tahu peristiwa ini, diingatkan lagi setiap tahun oleh sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan. Tapi sayang, jarang hati kita tersentuh dengan peristiwa ini, jarang hati kita menangis dengan pengorbanan besar assabiqunal awwalun (golongan awal) ini.
Kenapa pula harus berperasaan demikian? Ada apa dengan hijrah?

Kita rasa mudah saja hijrah ni, berpindah dari Mekah ke Madinah. Kita lupa, tidakkan mereka punya keluarga dan saudara-mara? Tidakkah mereka semua mempunyai kerjaya masing-masing? Tidakkah mereka punya harta untuk diusahakan? Tidakkah yang masih belajar punya tanggungjawab untuk menghabiskan pelajarannya? Bagaimana rumah mereka, anak-anak mereka, perniagaan mereka, bila sudah berpindah nanti? Berpindah ke satu tempat yang tidak pernah dapat dibayangkan bagaimana kehidupan mereka di tempat baru nanti.

Letakkan diri kita di posisi mereka. Mungkin ramai yang akan beralasan, "eh, perniagaan aku masih perlu diuruskan, kalau berpindah sia-sialah usaha aku selama ini", atau "pelajaran aku belum habis, nanti kalau dah habis, baru aku pindah", atau "ayam itikku, rumahku nanti siapa nak tolong jagakan?". Banyaknya alasan yang boleh kita kemukakan, berbeza dengan kaum muslimin waktu ini. Perintah dipatuhi tanpa banyak persolan. Diri disiapkan untuk perjalanan yang jauh ke kota Madinah. Tinggal saja semua perkara, kerana hijrah tidak harus dilambat-lambatkan dengan kesibukan dunia.

Mereka tahu apa prioriti mereka, iaitu patuh arahan Allah supaya berhijrah. Dan kondisi waktu itu sangat memerlukan mereka berhijrah, dan berpegang teguh dengan keimanan mereka, yang setiap hari diuji dengan pelbagai jenis siksaan. Visi mereka jelas, ISLAM wajib disebarkan kepada seluruh umat manusia. Dakwah dan jihad adalah tugas utama mereka.

Sekarang saat untuk kita refleksi diri. Di mana kedudukan islam dalam hidup kita? No 1, 2, atau 3? Realiti islam dan umat islam hari ini, sangat menyedihkan, lalu apa tindakan kita?

Aku mahu kongsi satu artikel yang menarik. Baca ye ^_^
Wallahua'lam.
Allah ampunkan aku, hamba yang lemah dan hina ini.

لاَّ تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَﭐلْيَوْمِ ﭐلآخِرِ يُوَآدُّونَ مَنْ حَآدَ ﭐللهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوۤاْ ءَابَآءَهُمْ أَوْ أَبْنَآءَهُمْ أَوْ إِخْوَٰنَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُوْلۤئِكَ كَتَبَ فِى قُلُوبِهِمُ ﭐلإِيمٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ﭐلأَنْهٰرُ خٰلِدِينَ فِيهَا رَضِىَ ﭐللهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ عَنْهُ أُوْلۤئِكَ حِزْبُ ﭐللهِ أَلاۤ إِنَّ حِزْبَ ﭐللهِ هُمُ ﭐلْمُفْلِحُونَ ﴿٢٢﴾


"Engkau tidak akan mendapati satu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, mencintai orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, walaupun mereka itu adalah bapa-bapa mereka atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka atau pun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah tanamkan iman di dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadaNya. Dan dimasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah meredhai mereka dan mereka pun redha terhadap (rahmat) Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya golongan Allah itu, merekalah orang-orang yang mendapat kejayaan." {22}


1 comment