Powered by Blogger.

Menulis: Bukan sekadar picisan


posted by Unknown

4 comments

Assalamualaikum w.b.t,
Terinspirasi dari beberapa blog yang pernah aku baca, maka aku menulis ini, sebelum aku terus bercerita itu dan ini.

Menulis, bukan kerja mudah, yakni bukan sekadar picisan. Seorang penulis sebenar pasti bersetuju dengan hakikat ini. Isi yang dihurai perlu sekali pada pelbagai rujukan, maka pastinya lambakan buku-buku, tidak kisahlah fiksyen atau bukan fiksyen, agama atau falsafah, buku yang tebal atau nipis, tentu menjadi teman setia seorang penulis. Dan seorang penulis punya VISI dan MISI melalui tulisannya, baik atau buruk. Senarai penulis tidak perlu aku tuliskan, kamu boleh fikir sendiri.

Halnya sama pada penulisan blog. Cubalah kamu meneroka segenap ruang blogging ini, blogspot, wordpress, atau apa saja. Kamu akan dapati kepelbagaian cara dan gaya setiap penulisan, yang setiap satunya kamu boleh tafsirkan mengikut penafsiranmu. Kebanyakan, atau rata-rata blog yang ada, hanya menghurai hidupnya hari itu. Makanan apa yang dia makan, siapa yang dia jumpa, nasib malang yang menimpanya, dan seupamanya. Ada juga yang menambah pada kisahnya itu, pengajaran atau 'ibrah yang didapatinya melalui peristiwa satu harinya.


Gaya penulisan yang lain pula kamu akan dapati pada ustaz-ustazah, atau individu muslim yang duduknya dalam sistem tarbiyah, pemikir, profesor, atau yang punya bakat menulis, baik puisi, cerpen, mahupun artikel yang mampu membuat setiap pembacanya semakin jelas terhadap sesuatu, atau semakin kabur, atau tertunggu-tunggu tulisan seterusnya.

Aku suka untuk kamu baca ini http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1585

Kita, umat Islam, punya kitab rujukan terbaik, iaitu Al-Quran dan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh para perawi hadis daripada Rasulullah S.A.W. Ini sewajarnya menjadi rujukan utama buat seluruh manusia yang mengakui sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W., samada kamu seorang penulis atau bukan.

Seperti juga golongan ahli falsafah, yang merujuk kepada kitab-kitab falsafah seperti Aristotle, Plato dan sebagainya, menulis sesuatu falsafah bukan sekadar suka-suka. Ada fahaman yang ingin dikembangkan, disebarluaskan supaya menjadi salah satu kayu ukur dalam mendefinisikan sesuatu masyarakat. Apatah lagi kita umat Islam, ada agama yang bukan sekadar agama. Islam sebagai cara hidup, al-Quran sebagai kitab rujukan, Rasulullah sebagai sebaik-baik contoh teladan.


Apabila menulis, janganlah menulis yang sia-sia, kerana hanya akan membuang masa dan tenaga anda untuk sesuatu yang tidak memberi kesan langsung terhadap umat. Ilmu yang kamu ada wajib dikongsi, walaupun sedikit. Usah bersaing siapa lagi hebat untuk membahaskan tentang isu itu dan ini, dengan mengatakan aku telah membaca buku itu dan ini, menurut itu dan ini, tanpa kamu gariskan dahulu apa yang Allah sendiri utarakan dalam al-Quran, apa yang Rasulullah wasiatkan melalui hadith-hadithnya.

Menulis, biar menulis dengan hati, supaya sampai ke hati juga. Jika tulisan itu kering, maka tidak ada ertinya tulisan itu, mungkin disalahertikan, atau yang lebih parah lagi, dikacaubilaukan oleh musuh kita. Benar, menulis perlu kepada ilmu, dan ilmu paling banyak didapati melalui pembacaan. Maka bagi yang malas membaca, mulakan membaca dahulu. Tetapi awas juga kepada golongan yang terlalu banyak membaca. Bahan bacaan wajib dipilih,bukan pakai taram saja. Orang baca novel dia baca novel, orang baca komik dia baca komik, orang baca Lord of the Ring, dia pun mahu baca juga.

Lihat pada keperluan masyarakat sekarang. Banyak perkara asas yang masih belum selesai, walaupun kita tidak patut untuk abaikan perkara yang besar. Jangan timbulkan kecelaruan yang ulama' juga berkhilaf tentangnya. Berpijak di bumi nyata. Namun jangan sesekali kita menyempitkan ruang berfikir kita, ruang pembacaan kita, tetapi perlulah berbuat demikian hanya setelah kamu memakai KACA MATA ISLAM. titik.

Tanpa asas yang kuat,tulisanmu boleh jadi salah, ataupun mengarah kepada sesuatu pengaruh yang kamu dapati hasil pembacaanmu.

Ini post pertama aku. Tidak perlu ia menjadi terlalu panjang. Aku akan kembali bercerita. Mungkin dengan cerita yang lebih menarik, insyaAllah. Doakan aku.

Kata-kata di atas juga ingatan untuk diriku. Sebab itu ia menjadi post pertama.
"Berkatalah dengan perkataan yang baik ataupun diam"(hadith 15)

Wassalam.
(p/s aku mengalukan sebarang cadangan untuk title blog ini. masih tidak mampu untuk fikirkan tajuk yang sesuai. harap sahabat dapat membantu^_^)

4 comments