Powered by Blogger.

Seindah Syurga


posted by Unknown

3 comments

Nusaibah itu terus menghayun pedangnya. Tiada kisah berbelas-belas tetakan yang mengenai bahunya. Dirinya cukup yakin kala itu. Yakin bahawa Allah ada bersamanya. Yakin bahawa kemenangan pasti dicapai, hidup atau syahid. Barisan pertahanan tidak akan berganjak, selagi masih ada manusia kafir laknatullah yang mahu menyentuh Kekasih mereka. Kekasih yang bukan sebarangan.

Bukit Uhud itu lantas menjadi saksi pengorbanan mereka. Si musyrik Ibnu Qamiah tidak berhenti memekik, " Tunjukkanlah aku siapa dia Muhammad! Aku tidak akan selamat, jika dia selamat!". Berani benar dia. Dan tampaklah dia akan sekujur tubuh pahlawan wanita itu, sebaris dengan Ali r.a, Abu Bakar r.a, Umar al-Faruq, Sa'ad, Talhah, Az-Zubair, Al-Abbas, dengan suami dan dua putera kesayangan Nusaibah.

Pantas sahaja Nusaibah menghayunkan pedangnya untuk memukul Ibnu Qamiah itu, pukulan demi pukulan, namun tetap tidak berhasil mencederakan walau sedikit pun. Dia memakai baju besi, sedang Nusaibah tidak mempunyai apa-apa sebagai perisai. Dirinya sahaja dibiarkan menjadi benteng yang kukuh, tidak akan berganjak walau seinci pun.

Sehingga Rasulullah pernah bersabda, " Setiap kali aku menoleh ke kanan ataupun ke kiri, melainkan aku melihat Ummi Umarah (Nusaibah) berjuang mati-matian untuk melindungiku." Subhanallah, hebatnya cinta buat kekasih agung!

Tatkala ada seorang pejuang yang berundur membawa perisai di dalam tangannya, Rasulullah s.a.w. pun menjerit kepadanya, "Berikan perisaimu itu kepada wanita yang berperang dekat denganmu itu!". Lalu diberikannya perisai itu kepada Nusaibah, dan pertarungan terus berlangsung, tiada melainkan dengan penuh iman dan berani. 13 luka seluruh tubuh, dan darah terus mengalir menyebabkan Nusaibah tidak dapat menyertai peperangan keesokannya.

Ya. Aku kagum, sangat-sangat kagum dengan sahabiah ini. Kekaguman yang mendorong untuk aku mencontohinya. Mencintai Rasulullah sehingga sanggup mati kerananya, keberanian terzahir dalam setiap tindakannya, bahkan sebaris dengan sahabat-sahabat yang tiada bandingannya dalam apa segi pun. Dia seorang wanita, namun tiada apa yang dapat menghalangnya dari berada di barisan hadapan tentera Islam. Masya-Allah!



Sungguh CELUPAN ALLAH adalah celupan terbaik. Celupan yang mewarnai setiap urat tanpa tertinggal satu pun. Betapa para sahabat bersungguh-sungguh mewarnai dirinya dengan celupan Sang Pencipta yang Maha Agung, bersungguh-sungguh mencapai kesempurnaan iman dan islam, walaupun tahu yang maksum itu hanya Rasulullah, tetapi cita-cita menjadi teman Rasulullah di syurga tidak pernah kalah melawan hawa nafsu. Mimpi untuk berdampingan dengan Nabi Allah itu di syurga dan kekal abadi didalamnya sentiasa menjadi motivasi untuk menjadi sebaik-baik hamba pada pandanganNya. Satu titik hitam pun tidak dibenarkan mengotorkan hati milikNya, supaya Allah memasukkan dirinya dalam senarai penghuni syurga yang indah itu. Manis dan kekalnya impian ini!

"Sibghah Allah (celupan Allah). Siapa yang lebih baik sibghah-nya daripada Allah? Dan kepada-Nya kami menyembah." (2:138)

Ini cita-citaku, yang aku ingin ia menjadi cita-cita kita semua pastinya. Menjadi srikandi Islam, sayap kiri perjuangan menegakkan agama Allah. Tidak pernah luntur semangat juang, walau ramai sekali tidak memahami dan tidak peduli. Dunia yang sementara, jangan kita mempertaruhkan akhirat yang kekal abadi dengannya. Sesekali jangan, atau kita termasuk dari kalangan hamba yang sangat rugi dan tidak pandai bersyukur. Na'uzubillah.

Nusaybah,
Badar

3 comments