Powered by Blogger.

Khayal


posted by Unknown

5 comments


biarlah aku berkhayal

khayalkan hidup di syurga
biarlah aku mimpi itu
jadi bidadari pemuda syurga

biarlah aku khayalkan seorang khalifah
sering aku idamkan itu
penuh warna-warni
dunia islam

biarlah aku penat
biarlah aku perit
biarlah aku jatuh

biarlah aku berubah
seratus peratus
tidak sedikit-sedikit
sebab Umar itu hebat

biarlah aku berkhayal
anak-anak comel
jadi pemimpin umat semuanya

biarlah aku usaha
usaha sampai letih
letih sampai pengsan
jasad milik Tuhan

biarlah aku berkhayal
gapai cinta tertinggi
tiada terima kasih
Allah tengoklah aku!

islam iman
hitam putih
kelabu tipu
buih kosong

satu belum lepas
Tuhan bantulah
satu masih lemah
Tuhan berilah hidayah
satu masih dua,tiga,empat
Tuhan satukanlah

sebab aku rindu

Seindah Syurga


posted by Unknown

3 comments

Nusaibah itu terus menghayun pedangnya. Tiada kisah berbelas-belas tetakan yang mengenai bahunya. Dirinya cukup yakin kala itu. Yakin bahawa Allah ada bersamanya. Yakin bahawa kemenangan pasti dicapai, hidup atau syahid. Barisan pertahanan tidak akan berganjak, selagi masih ada manusia kafir laknatullah yang mahu menyentuh Kekasih mereka. Kekasih yang bukan sebarangan.

Bukit Uhud itu lantas menjadi saksi pengorbanan mereka. Si musyrik Ibnu Qamiah tidak berhenti memekik, " Tunjukkanlah aku siapa dia Muhammad! Aku tidak akan selamat, jika dia selamat!". Berani benar dia. Dan tampaklah dia akan sekujur tubuh pahlawan wanita itu, sebaris dengan Ali r.a, Abu Bakar r.a, Umar al-Faruq, Sa'ad, Talhah, Az-Zubair, Al-Abbas, dengan suami dan dua putera kesayangan Nusaibah.

Pantas sahaja Nusaibah menghayunkan pedangnya untuk memukul Ibnu Qamiah itu, pukulan demi pukulan, namun tetap tidak berhasil mencederakan walau sedikit pun. Dia memakai baju besi, sedang Nusaibah tidak mempunyai apa-apa sebagai perisai. Dirinya sahaja dibiarkan menjadi benteng yang kukuh, tidak akan berganjak walau seinci pun.

Sehingga Rasulullah pernah bersabda, " Setiap kali aku menoleh ke kanan ataupun ke kiri, melainkan aku melihat Ummi Umarah (Nusaibah) berjuang mati-matian untuk melindungiku." Subhanallah, hebatnya cinta buat kekasih agung!

Tatkala ada seorang pejuang yang berundur membawa perisai di dalam tangannya, Rasulullah s.a.w. pun menjerit kepadanya, "Berikan perisaimu itu kepada wanita yang berperang dekat denganmu itu!". Lalu diberikannya perisai itu kepada Nusaibah, dan pertarungan terus berlangsung, tiada melainkan dengan penuh iman dan berani. 13 luka seluruh tubuh, dan darah terus mengalir menyebabkan Nusaibah tidak dapat menyertai peperangan keesokannya.

Ya. Aku kagum, sangat-sangat kagum dengan sahabiah ini. Kekaguman yang mendorong untuk aku mencontohinya. Mencintai Rasulullah sehingga sanggup mati kerananya, keberanian terzahir dalam setiap tindakannya, bahkan sebaris dengan sahabat-sahabat yang tiada bandingannya dalam apa segi pun. Dia seorang wanita, namun tiada apa yang dapat menghalangnya dari berada di barisan hadapan tentera Islam. Masya-Allah!



Sungguh CELUPAN ALLAH adalah celupan terbaik. Celupan yang mewarnai setiap urat tanpa tertinggal satu pun. Betapa para sahabat bersungguh-sungguh mewarnai dirinya dengan celupan Sang Pencipta yang Maha Agung, bersungguh-sungguh mencapai kesempurnaan iman dan islam, walaupun tahu yang maksum itu hanya Rasulullah, tetapi cita-cita menjadi teman Rasulullah di syurga tidak pernah kalah melawan hawa nafsu. Mimpi untuk berdampingan dengan Nabi Allah itu di syurga dan kekal abadi didalamnya sentiasa menjadi motivasi untuk menjadi sebaik-baik hamba pada pandanganNya. Satu titik hitam pun tidak dibenarkan mengotorkan hati milikNya, supaya Allah memasukkan dirinya dalam senarai penghuni syurga yang indah itu. Manis dan kekalnya impian ini!

"Sibghah Allah (celupan Allah). Siapa yang lebih baik sibghah-nya daripada Allah? Dan kepada-Nya kami menyembah." (2:138)

Ini cita-citaku, yang aku ingin ia menjadi cita-cita kita semua pastinya. Menjadi srikandi Islam, sayap kiri perjuangan menegakkan agama Allah. Tidak pernah luntur semangat juang, walau ramai sekali tidak memahami dan tidak peduli. Dunia yang sementara, jangan kita mempertaruhkan akhirat yang kekal abadi dengannya. Sesekali jangan, atau kita termasuk dari kalangan hamba yang sangat rugi dan tidak pandai bersyukur. Na'uzubillah.

Nusaybah,
Badar

Langkah Tercipta


posted by Unknown

11 comments

Bicara tentang hidup, tentang dunia, dan pastinya dunia itu bakal berakhir.
Bicara tentang amalmu, pertemuan dengan Sang Pencipta, dan pastinya hari akhirat bakal tiba.

Kau ingin sesuatu, tapi mengapa kau masih meminta pada manusia?
Kau perlukan pertolongan, tapi kau tidak meminta padaNya.
Kau lapar, juga kau tidak pernah minta pada Dia.
Kau tertekan dengan hidupmu, tapi kau masih ingin berhibur dengan bukan dari ayat-ayatNya.

Bahagiakah kau? Terhapuskah segala keluh-kesah dirimu?
Padahal syaitan jua yang bersamamu tika itu. Dan kau katakan, kau mahu Tuhan sentiasa melihat dan menjagamu. Ah, satu ketidakjujuran yang nyata.

Bangun munajat pada Allah, mohon ampunannya.
Lihatlah pada makanan kamu, badan kamu, alam ini, langit ini. Bukan ciptaan yang sia-sia.

"Dan ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." Mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosah dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (2:30)

Bergembiralah kerana kita digolongkan dari kalangan hambaNya yang beriman, maka BERBANGGALAH, kerana ramai lagi manusia yang bukan pilihanNya. Islam bukan untuk diamalkan sebahagian, dan kamu abaikan sebahagian lagi, walhal kamu sedari kesyumulannya.

Mulakan hari ini. Mulakan setiap perkara, dari bangunmu dari tidur, dengan sebutan namaNya.
'Bismillahirrahmanirrahim'. Dengan nama Allah yang Maha pengasih, Maha Penyayang.
Dan kita akan dapat menilai, mana satukah Islam, mana satu bukan. Dan Allah sentiasa bersama hambaNya yang bersabar.

Sebuah lagu, bukan sekadar lagu.

Langkah Tercipta

Semalam aku kelukaan
Kecewa kehampaan
Mencalar ketabahan
Impian seringku harapkan menjadi kenyataan
Namun tak kesampaian

Allah…
Inginku hentikan langkah ini
Bagaikan tak mampu untuk ku bertahan
Semangat tenggelam lemah daya
Haruskah aku mengelamun jiwa
Ku berbisik inilah dugaan

Dan langkahku kini terbuka
Pada hikmah dugaan uji keimanan
Dan dilontarkannya ujian diluar kekuatan setiap diri insan

Allah…
Pimpini diriku
Untuk bangkit semula meneruskan langkah perjuangan ini
Cekalkan hati dan semangatku
Kurniakan ketabahan.......
Agar mimpi jadi nyata..
padaMu ku meminta

Dan ku mohon agung kudratMu
Wahai Tuhan Yang Satu
Segalanya dariMu

Duhai pemilik nyawaku, lindungiku dari putus asa. Allah...

p/s Sekarang aku sangat merindui mereka, wani,mak,kausar,nisa,aina,nad,ainul. Moga mereka juga mengingatiku dalam doa mereka.

HILANG


posted by Unknown

12 comments

Ia hilang hari ini. Tapi aku tidak risau. Sebab Dia Maha Tahu. Dan Dia telah selamatkan apa yang lebih berharga bagiku. syukur. syukur. syukur. Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Ini tazkirah untuk diriku, dan sahabat-sahabat juga. Dunia letaknya di tangan, jangan sesekali di hati. Ini yang terbaik untukku hari ini, insyaAllah.

Doakan semoga apa yang hilang dijumpai. Semoga Allah sentiasa pelihara hati ini. Wallahua'lam.

p/s Nas lebih sedih dariku. Handphone hilang, duit kutipan derma yang banyak juga hilang. Semoga dia tabah. Doakan.

Musim Menuai ^_^


posted by Unknown

No comments

Bismillahirrahmanirrahim.

Pendahuluan dengan nama Allah, terpaksa akur mengakui betapa lalainya aku dalam menjalankan kewajipan terhadapNya.



23 hari dan beberapa jam, exam final(bertulis) bakal bermula. Resah. Gelisah. Fikiran tak menentu. Tak tahu mana satu nak mula, yang itukah, yang inikah, atau semuanya sekali serentak. Huih.

Semua orang pun pasti rasa begini. Tak tenteram. Aku pun. Bila musim exam bermula, macam-macam gaya yang kita boleh perhatikan. Yang tidak keluar-keluar bilik, yang berjaga entah bila dia tidur, yang ke Ragab Sons utk beli stok makanan sepanjang musim, yang setiap malam bangun bertahajud memohon pertolongan daripada Dia. Macam-macam ragam. Macam-macam ada.

Aku, aku tak suka peperiksaan. Tapi aku tau peperiksaan sangat penting. Allah pun suka peperiksaan, jadi kenapa kita tak suka?

“Dan sungguh, Kami BENAR-BENAR akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang BENAR-BENAR berjihad dan bersabar di antara kamu, dan akan Kami uji perihal kamu.”(Muhammad 47:31)


Itulah ujian. Allah memberi ujian kepada hambaNya utk menguji siapakah yang BENAR-BENAR beriman. Guru memberi kita peperiksaan untuk menguji siapakah yang BENAR-BENAR belajar. Betul kan?
Kepada semua sahabat, dan pastinya diriku sendiri, persiapkan diri. Untuk ujian dunia, dan akhirat. Pilih antara dua :

1. Study, study, study. Solat yang wajib je cukup, tak de masa nak buat benda lain, jangan kacau!
2. Study, istiqamah+smart, bangun tahajud, buat solat hajat tiap malam sbb kejayaan dari Allah, kalau kawan mintak tolong, tolong je. Semoga Allah melihat semua usaha. Amiin.

Nak yang mana? Kita yang buat pilihan. Pertama sekali, reset niat. Betulkan niat. Makin dekat dengan exam makin lari niat kita dari niat kerana Allah. Jadi niat belajar sbb exam, maka sia-sialah segala usaha kita, tanpa satu pahala pun tertulis di bahu kanan. Atau mungkin menjadi dosa pula disebabkan lalai menjalankan amanah dari Allah sebagai hamba dan khalifah. Dengan alasan, BZ!

Aku lihat ramai yang tergolong dalam kumpulan 1. Ada juga yang termasuk dalam kumpulan 2. Dan kedua-duanya najah. Tapi siapa yang najah sebenarnya? Adakah sebab si A study dgn sangat kuat maka dia najah? Atau adakah si B lebih banyak solat sunat dan hajat maka dia tak najah? Najah juga kan? Jadi?

Kau, aku, atau siapa pun pasti mahu najah dalam exam. Tapi satu perkara penting yang perlu kita tahu, keputusan peperiksaan semua telah tertulis di Luh Mahfuz. THE PENS ARE WITHDRAWN, THE PAGES ARE DRY, IT’S WRITTEN. Oh, jadi tak payahlah stadi. Hee.

Musim exam ini sebenarnya adalah musim mengutip buah-buah yang sangat ranum dan mudah dicapai, dan hasilnya akan didapati selepas tamat menuai. Pahala mudah sedang ditawarkan kepada kita dengan sebanya-banyaknya, atas kita untuk kutip atau tak. Mahu bukti? The exam is just around the corner. Keputusan exam itu pun telas tertulis sejak azali lagi. Tapi Allah mahu aku bersungguh-sungguh juga. Kenapa?

Inilah maksud Allah ingin bagi pahala mudah untuk kita hambanya. Kita bukan dapat pahala sebab kita najah dalam imtihan. Tak. Bukan macam tu. Kita berusaha bersungguh-sungguh dalam tempoh ni, itulah pahala kita. Doa kita, solat kita, qiam kita, kata-kata baik kita, ukhuwah kita, menjaga amanah kita, itu juga pahala kita. Semuanya disertai dengan pahala, kita semua mesti usaha untuk exam kan? Berapa banyak pahala yang tak terhitung yang Kholiq kita tawarkan, hanya kena tambah satu syarat. LILLAHI TAALA. Tu saja. Senang kan?


Bila tertekan, baca al-Quran, baca maksud, tadabbur ayat. Bila bosan-bosan, tasbih, tahmid, takbir, tahlil. Subhanallah, banyaknya pahala yang kita boleh kutip. Jadi lepas ni kalau bosan-bosan study, tambah pahala, jangan rosakkan amalan kita dengan buat perkara yang tidak menambahkan iman langsung.

“Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, (yaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang menjauhkan diri dari yang tidak berguna.” (al-mukminun 23:1-3)


TAWAKAL. Ini bahagian yang paling aku suka. Musim exam ini, dengan segala ketakutan, kekalutan, emosi yang tidak tentu arah, maka pergantungan yang terbaik hanyalah padaNya.
Ini adalah buah penting yang SUPER penting untuk kita kutip. Jangan lupakan buah ini, sebab nanti kita sendiri yang bakal menyesal. Kita sangat-sangat perlukan pertolongannya, SANGAT-SANGAT. So mintalah dengan sepenuh hati, dengan beria-ia, dengan yakin bahawa Dia akan beri apa saja yang kita mohon. Angkat kedua tanganmu setinggi mungkin. Ini janji Allah. Siapa yang meminta Allah akan perkenankan. Dan janji Allah itu pasti berlaku. No doubt. Mintalah.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kejayaan, dengan sebab keyakinan kita yang tertinggi padanya. Ayuh angkat tangan kita setinggi-tingginya, mohon kekuatan dan keberkatan dariNya.
Semoga ujian ini menjadikan kita lebih kuat untuk menempuh medan ujian sebenar, demi Islam dan dakwah kita. Moga dipelihara dari fitnah dunia. Amin.

Ayuh nyalakan obor ummah ini!

Menulis: Bukan sekadar picisan


posted by Unknown

4 comments

Assalamualaikum w.b.t,
Terinspirasi dari beberapa blog yang pernah aku baca, maka aku menulis ini, sebelum aku terus bercerita itu dan ini.

Menulis, bukan kerja mudah, yakni bukan sekadar picisan. Seorang penulis sebenar pasti bersetuju dengan hakikat ini. Isi yang dihurai perlu sekali pada pelbagai rujukan, maka pastinya lambakan buku-buku, tidak kisahlah fiksyen atau bukan fiksyen, agama atau falsafah, buku yang tebal atau nipis, tentu menjadi teman setia seorang penulis. Dan seorang penulis punya VISI dan MISI melalui tulisannya, baik atau buruk. Senarai penulis tidak perlu aku tuliskan, kamu boleh fikir sendiri.

Halnya sama pada penulisan blog. Cubalah kamu meneroka segenap ruang blogging ini, blogspot, wordpress, atau apa saja. Kamu akan dapati kepelbagaian cara dan gaya setiap penulisan, yang setiap satunya kamu boleh tafsirkan mengikut penafsiranmu. Kebanyakan, atau rata-rata blog yang ada, hanya menghurai hidupnya hari itu. Makanan apa yang dia makan, siapa yang dia jumpa, nasib malang yang menimpanya, dan seupamanya. Ada juga yang menambah pada kisahnya itu, pengajaran atau 'ibrah yang didapatinya melalui peristiwa satu harinya.


Gaya penulisan yang lain pula kamu akan dapati pada ustaz-ustazah, atau individu muslim yang duduknya dalam sistem tarbiyah, pemikir, profesor, atau yang punya bakat menulis, baik puisi, cerpen, mahupun artikel yang mampu membuat setiap pembacanya semakin jelas terhadap sesuatu, atau semakin kabur, atau tertunggu-tunggu tulisan seterusnya.

Aku suka untuk kamu baca ini http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1585

Kita, umat Islam, punya kitab rujukan terbaik, iaitu Al-Quran dan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh para perawi hadis daripada Rasulullah S.A.W. Ini sewajarnya menjadi rujukan utama buat seluruh manusia yang mengakui sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W., samada kamu seorang penulis atau bukan.

Seperti juga golongan ahli falsafah, yang merujuk kepada kitab-kitab falsafah seperti Aristotle, Plato dan sebagainya, menulis sesuatu falsafah bukan sekadar suka-suka. Ada fahaman yang ingin dikembangkan, disebarluaskan supaya menjadi salah satu kayu ukur dalam mendefinisikan sesuatu masyarakat. Apatah lagi kita umat Islam, ada agama yang bukan sekadar agama. Islam sebagai cara hidup, al-Quran sebagai kitab rujukan, Rasulullah sebagai sebaik-baik contoh teladan.


Apabila menulis, janganlah menulis yang sia-sia, kerana hanya akan membuang masa dan tenaga anda untuk sesuatu yang tidak memberi kesan langsung terhadap umat. Ilmu yang kamu ada wajib dikongsi, walaupun sedikit. Usah bersaing siapa lagi hebat untuk membahaskan tentang isu itu dan ini, dengan mengatakan aku telah membaca buku itu dan ini, menurut itu dan ini, tanpa kamu gariskan dahulu apa yang Allah sendiri utarakan dalam al-Quran, apa yang Rasulullah wasiatkan melalui hadith-hadithnya.

Menulis, biar menulis dengan hati, supaya sampai ke hati juga. Jika tulisan itu kering, maka tidak ada ertinya tulisan itu, mungkin disalahertikan, atau yang lebih parah lagi, dikacaubilaukan oleh musuh kita. Benar, menulis perlu kepada ilmu, dan ilmu paling banyak didapati melalui pembacaan. Maka bagi yang malas membaca, mulakan membaca dahulu. Tetapi awas juga kepada golongan yang terlalu banyak membaca. Bahan bacaan wajib dipilih,bukan pakai taram saja. Orang baca novel dia baca novel, orang baca komik dia baca komik, orang baca Lord of the Ring, dia pun mahu baca juga.

Lihat pada keperluan masyarakat sekarang. Banyak perkara asas yang masih belum selesai, walaupun kita tidak patut untuk abaikan perkara yang besar. Jangan timbulkan kecelaruan yang ulama' juga berkhilaf tentangnya. Berpijak di bumi nyata. Namun jangan sesekali kita menyempitkan ruang berfikir kita, ruang pembacaan kita, tetapi perlulah berbuat demikian hanya setelah kamu memakai KACA MATA ISLAM. titik.

Tanpa asas yang kuat,tulisanmu boleh jadi salah, ataupun mengarah kepada sesuatu pengaruh yang kamu dapati hasil pembacaanmu.

Ini post pertama aku. Tidak perlu ia menjadi terlalu panjang. Aku akan kembali bercerita. Mungkin dengan cerita yang lebih menarik, insyaAllah. Doakan aku.

Kata-kata di atas juga ingatan untuk diriku. Sebab itu ia menjadi post pertama.
"Berkatalah dengan perkataan yang baik ataupun diam"(hadith 15)

Wassalam.
(p/s aku mengalukan sebarang cadangan untuk title blog ini. masih tidak mampu untuk fikirkan tajuk yang sesuai. harap sahabat dapat membantu^_^)